Thursday, October 21, 2010

Bagaimana Ia Bermula...

Syukran Ya Allah...
Alhamdulillah...alhamdulillah..alhamdulillah...
Syukur atas limpah kurnia dan rezeki yang tidak terhingga buatku darimu ya Allah..
Bagaimana ia bermula?

Sepertimana pasangan lain yang mendirikan rumahtangga, aku jua mengharapkan kehadiran cahaya mata dalam rumahtanggaku...disebabkan faktor ingin melanjutkan pelajaran, aku terpaksa merancang selama 6 bulan supaya pelajaranku tidak terganggu dan aku dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaranku. Alhamdulillah...sejurus tamat kursus perguruan selama setahun pada Jun 2010, aku hanya duduk di rumah menguruskan rumahtangga sementara menunggu keputusan penempatan.

Jun berlalu dan bulan Julai menjelma. Aku tertanya-tanya mengapakah aku masih tidak datang bulan pada 26 Jun. Aku tidak mahu meletakkan sebarang harapan kerana menganggap adalah normal sekiranya kitaran haidku lewat kerana aku mempunyai kitaran haid yang tidak teratur. Pada 30 Jun, aku sengaja membuat upt sendiri di rumah dan hasilnya "negatif"...aku sudah menjangkakan...memang kitaran haidku tidak teratur. Jadi, aku membuat keputusan untuk menunggu haid datang seperti biasa. Seminggu berlalu...aku mengalami simptom hamil seperti tompokan coklat. Aku buat upt sekali lagi dan hasilnya tetap "negatif". Pada 16 Julai, aku dan suami mengambil keputusan untuk pergi ke klinik swasta kerana aku risau jika terdapat penyakit lain yang mengganggu kitaran haidku. Doktor telah melakukan upt sekali lagi dan "ultrasound" dan mendapati aku tetap tidak mengandung dan memberitahu aku hanya mengalami kencing kotor dan memberikan ubat. Pada 18 Julai, aku telah menjalani "abdomen scanning" dan doktor di klinik yang sama mengatakan kemungkinan aku menghidap PCOS...iaitu Polycystic Ovarian Snyndrome. Hanya Allah yang tahu betapa risau dan perasaan aku ketika itu bercampur baur... Doktor memberikan aku pil turun darah supaya haidku datang seperti biasa namun setelah 9 biji pil dimakan, aku masih tidak didatangi haid.

Julai berlalu...telah tiba bulan Ogos dan awal Ogos aku mula mengalami simptom-simptom hamil seperti sakit di bahagian ari-ari, muntah2, pening, lesu dan tiada selera makan. Pada 4 Ogos aku dan suami sekali lagi membuat pemeriksaan tetapi kali ini di Kuching Specialist Centre. Aku memberitahu doktor bahawa aku sudah lama tidak datang bulan, disuspek PCOS dan mempunyai simptom2 hamil. Doktor menjalankan "ultrasound scanning" sekali lagi dan mendapati hanya dinding rahim yang sedang menebal petanda aku akan datang haid tak lama lagi. Doktor juga tidak dapat mengesan sebarang petanda PCOS. Aku merasa lega dan bersyukur..sekurang-kurangnya aku tidak menghidapi sebarang penyakit serius yang mengganggu kitaran haidku. Aku hanya perlu menunggu dan bersabar.

Ramadan menjelma dan dua hari menjelang Ramadan aku dan suami masih sempat pergi berurut dengan seorang tukang urut bagi membetulkan segala urat2 yang tersimpul dan juga bagi memudahkan kitaran haidku datang seperti biasa. Tukang urut turut menaikkan rahimku agar memudahkan aku untuk hamil. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu...

Aku menjalani ibadah puasa seperti biasa walaupun badan ini terlalu lesu, letih, pening, loya, dan tidak lalu menjamah makanan ketika berbuka. Setiap kali selepas solat, aku panjatkan doa pada yang Maha Esa...permudahkanlah Ya Allah..sekiranya benar aku hamil, kau tunjukkanlah petanda..jika aku tidak hamil, kau turunkanlah haidku seperti biasa...aku tidak mampu lagi untuk berteka-teki dengan keadaan diriku yang tidak menentu ini. Pada 16 Ogos, aku mula lapor diri sebagai pendidik. Bermulalah karierku sebagai penjawat awam dan pendidik yang akan mendidik anak bangsa.

Pada 20 Ogos, jam 8 malam, aku menghubungi ibuku untuk bertanya khabar dan ibuku bertanya adakah aku masih tidak sihat dan tiada haid. Aku mengiyakan dan memberitahu keadaan diriku. Ibuku mengatakan dengan tegas bahawa aku mengandung cuma masih tidak dapat disahkan dari sudut sains dan teknologi. Selepas menghubungi ibuku, aku tergerak hati untuk melakukan upt sekali lagi. Aku meminta suamiku membelikan upt di farmasi pada jam 9 malam. Tanpa berlengah, aku terus membuat upt tanpa mempunyai sebarang perasaan. Aku langsung tidak berharap. Tidak sampai seminit air kencing dititiskan di atas upt, aku mendapati dua line terang pada upt tersebut. Aku seperti tidak percaya. Aku hamil. Ya Allah...betapa hebat kuasaMu ya Allah...

Aku menunjukkan keputusan upt kepada suami dan kami berdua menangis kesyukuran atas kurniaan di bulan Ramadan ini. Keesokan harinya, kami pergi ke klinik sekali lagi bagi mendapatkan pengesahan doktor dan doktor mengesahkan aku hamil dua bulan....

Syukran ya Allah...(^_^)